Komuniti Sarawak Perlu Ambil Langkah Positif Dalam Menghadapi Situasi Banjir

SELASA, 4 JANUARI 2022

KUCHING: Fenomena hujan lebat dan angin kuat yang boleh menyebabkan banjir di Sarawak seperti ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia telah bergerak ke laut. 

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman, ini suatu petanda yang positif kepada negeri Sarawak. 

“Kalau kita lihat fenomena yang berlaku dalam ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, kita masih lagi dalam keadaan selamat di Sarawak ini di mana angin tiupan dan jangkaan hujan lebat telah bergerak ke laut walaupun dalam laporan awalnya menimbulkan kerisauan di kalangan kita. 

“Akhirnya, awan ini bergerak ke laut dan ini merupakan suatu petanda yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengadakan rondaan JBPM Bersama Media dalam Pemantauan Monsun Timur Laut 2022 Melalui Udara pada Selasa. 

Datu Khirudin turut mengingatkan komuniti Sarawak perlu mengambil langkah positif dalam membantu kerajaan menghadapi situasi banjir ini. 

“Apa yang boleh dipelajari ialah komuniti Sarawak sendiri mengambil langkah positif membantu kerajaan yang juga merupakan tanggungjawab bersama. 

“Kita lihat apa yang berlaku di Semenjung dan di Sarawak, kita mengharapkan komuniti itu sendiri berasa bertanggungjawab dan keduanya kesiapsiagaan. Sebab, kalau agensi-agensi bersiap siaga manakala, masyarakat tidak bersedia, tidak peduli atau leka, kita juga akan menerima kesan daripadannya,” ujarnya. 

Tambah Datu Khirudin lagi, JBPM Sarawak dan agensi-agensi  penyelamat sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi apa jua yang akan berlaku selepas ini.

Dalam pada itu, Dato Khiruddin turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain air pada kejadian air pasang besar seperti yang berlaku di Debak baru-baru ini bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.-EDISI UKAS

add comment