PGA Sarawak Rekod Nilai Rampasan Berjumlah RM49.5 Juta Sepanjang Tahun 2021

SELASA, 4 JANUARI 2022

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak telah mencatat nilai rampasan sebanyak RM49.5 juta menerusi serbuan dalam pelbagai operasi sepanjang tahun 2021. 

Operasi itu membabitkan Op Benteng COVID-19, Op Kontraban, Op Libas dan Op Bersepadu Khazanah. 

Menurut kenyataannya, seramai 538 individu telah ditangkap membabitkan 241 warga tempatan dan 279 warga asing sepanjang operasi terbabit.

Katanya, Op Kontraban mencatatkan nilai rampasan terbesar iaitu sebanyak RM27.7 juta. 

“Sebanyak 43 serbuan dilakukan membabitkan tangkapan seramai 64 individu terdiri dari 55 lelaki dan tiga perempun warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing,” katanya pada Sabtu.

Sementara itu, sebanyak 337 serbuan dengan nilai rampasan bernilai RM1.078 juta telah dicatatkan dalam Op Benteng COVID-19.

“Sepanjang operasi tersebut, seramai 402 individu telah ditangkap membabitkan 129 warga tempatan dan 276 warga asing. Manakala, seramai 69 tekong warga tempatan dan 7 tekong warga asing telah ditahan.

“Turut digusir sejumlah 974 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang terdiri daripada 788 lelaki dan 186 perempuan,” katanya.

Mengulas lanjut, sebanyak RM14.09 juta nilai rampasan hasil daripada 50 kes dalam Op Libas.

“Seramai 63 individu terdiri dari 34 lelaki dan 16 perempuan serta 11 lelaki dan dua perempuan warga asing telah ditangkap,” ujarnya.

Manakala, menerusi sembilan kes Op Bersepadu Khazanah (OBK) sepanjang tahun 2021, katanya PGA Sarawak telah mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM705,418. 

“Seramai sembilan individu terdiri dari enam lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta dua warg asing ditangkap dalam operasi tersebut,” katanya.-EDISI UKAS

add comment