Stesen Minyak PETROS Akan Dibina Di Saratok

SELASA, 4 JANUARI 2022

SARATOK: Sebuah stesen minyak Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan dibina di tapak Wadira Food Court dekat Simpang Saratok. 

Perkara ini dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok Berhad Tahun 2021 di Dewan Dayak pada Ahad.

Katanya, pembinaan PETROS itu telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 2019 lalu.  

“Oleh itu, saya akan membantu koperasi dalam merealisasikan pembinaan PETROS di Simpang Saratok sepertu yang telah diluluskan Ketua Menteri,” katanya. 

Ujar Mohamad lagi, Koperasi Peserta Felcra Kawasan Saratok telah mendapat pemilikan tanah di Tapak Wadira Food Court di Simpang Saratok daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak baru-baru ini. 

‘Dengan pemilikan itu, koperasi dapat melaksanakan pembangunan di tapak tanah tersebut seperti sekarang. 

“Pengurusan koperasi hendaklah merangka perancangan pembangunan ke atas tapak Wadira Food Court sama ada menaik taraf bangunan sedia ada atau membina bangunan kawasan rehat (R&R) yang baharu,” katanya. 

Hadir sama Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Bahagian Sri Aman Noor Azhar Abdul Kadir, Pengurus Pembangunan Peserta FELCRA berhad Sarawak Hamzah Yak, Pengurus Kawasan FELCRA Berhad Saratok Khairil Anuar Mohamad dan Pengerusi Koperasi Peserta FELCRA Kawasan Saratok Berhad Kanchil Andong. -EDISI UKAS

add comment