ADUN Tanjong Batu Lakukan Lawatan Ke Kampung Jabai, Bincang Cadangan Naik Taraf Dewan Serbaguna

RABU, 5 JANUARI 2022

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang Leong Ming telah melawat ke Kampung Jabai pada Selasa bersama dengan pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR)

Lawatan itu bertujuan bertemu dengan penduduk di situ berkenaan dengan cadangan untuk menaik taraf dewan serbaguna di kawasan kampung tersebut iaitu Dewan Muktamar yang kerap digunakan untuk sukan badminton dan penganjuran acara-acara sosial yang lain.

Penduduk Kampung Jabai berharap satu tapak berbumbung boleh didirikan di luar dewan tersebut untuk membolehkan aktiviti-aktiviti luar dijalankan.

Dalam pada itu, terdapat juga cadangan untuk menjadikan loteng di atas pentas dewan tersebut sebagai bilik mesyuarat dan memasang penghawa dingin di dalam dewan tersebut supaya persekitaran dewan lebih selesa bagi menganjurkan aktiviti dalaman.

Sehubungan itu, Johny Pang memberitahu, beliau akan membantu untuk memohon dana daripada kerajaan bagi kerja-kerja menaiktaraf dewan serbaguna tersebut.-EDISI UKAS

add comment