Masjid Darul Salihin Perlukan Pemulihan Segera

RABU, 5 JANUARI 2022

SERIAN : Struktur bangunan Masjid Darul Salihin di daerah Serian yang rosak akibat insiden kebakaran pada Isnin perlu dipulihkan dengan segera bagi membolehkan penduduk di Kampung Sungai Menaul menjalani ibadah.

Menurut laporan, masjid tersebut terbakar sekitar jam 3.00 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung sebelum merebak ke bahagian-bahagian lain dalam bangunan masjid berkenaan.

Prihatin dengan insiden tersebut, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang melawat ke tapak kebakaran itu pada Selasa.

Beliau juga meminta agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Agama Islam Bahagian Serian dan Jabatan Kerja Raya untuk mengambil perhatian dan tindakan sewajarnya agar baik pulih masjid tersebut dapat dilaksanakan secepatnya.

Menurut Ketua Kaum Kampung Sungai Menaul, Ngaliman Darsono, punca kebakaran masih dalam siasatan dan buat masa ini penduduk kampung akan beribadah di dewan berhampiran.

Hadir sama, Pemanca Daerah Serian, Salbiah Emon dan Pegawai Pejabat Agama Islam Bahagian Serian,Ustaz Morshidi July.-EDISI UKAS

add comment