Peruntukan PPRMS Dan JPBNS Bantu Baik Pulih Rumah Terjejas Akibat Ribut Di Kampung Opar

RABU, 5 JANUARI 2022

BAU : Kejadian ribut taufan yang melanda Kampung Opar pada petang Selasa telah mengakibatkan kira-kira 16 buah rumah mengalami kerosakan melibatkan hampir 60 mangsa.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik turun padang pada Rabu bagi meninjau keadaan rumah-rumah yang rosak dan mangsa ribut termasuk 6 buah keluarga yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Opar.

Menurut Billy, bantuan akan diberikan menerusi peruntukan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Opar dengan nilaian siling sebanyak RM15,000 setiap satu bergantung kepada kerosakan rumah.

Disamping itu katanya, peruntukan tambahan juga akan dipohon kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk membaik pulih dua buah rumah yang rosak teruk.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang membuat anggaran kos untuk membaik pulih rumah-rumah yang terjejas dan kita akan memohon kepada pihak-pihak berkenaan untuk memberi bantuan segera”

“Ketua kampung telah mengarahkan penduduk kampung untuk bergotong-royong membaiki kerosakan sementara menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya semasa ditemubual media.

Dalam pada itu, Billy juga turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM9,000 bagi membiayai perbelanjaan makan minum petugas dan mangsa di PPS Kampung Opar.

Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi’, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Noriah Ahmad; Ketua Balai Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Tawang Lingem; Angkatan Pertahanan Awam Bau, Lt (PA) Patrick Lagak Pateh; Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Bau, Josephine Josy Nyogia dan Ketua Kaum Kampung Opar, Dewen Giam. -EDISI UKAS

add comment