Datuk Amar Jaul Samion Serah Dokumen Jawatan Pengerusi JPBNS Kepada Datuk Amar Douglas Uggah

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion menyerahkan dokumen tugas jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Hadir sama menyaksikan penyerahan dokumen tugas jawatan itu ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Penasihat JPBNS, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik dan Pemangku Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Rosemawati Ariffin.

Untuk rekod, pada 6 November 2021, penyerahan jawatan Pengerusi JPBNS dilakukan oleh Datuk Amar Douglas Uggah kepada Datuk Amar Jaul Samion susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Dalam pada itu, JPBNS dalam satu kenyataan media memberitahu, waktu operasi bagi sektor ekonomi untuk aktiviti yang dibenarkan di fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah mengikut syarat-syarat operasi premis seperti di dalam lesen yang ditetapkan.

JPBNS menambah, ia berbeza dengan operasi premis pada fasa tiga PPN di mana tempoh operasi dihadkan sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor ekonomi di negeri ini. -EDISI UKAS

add comment