GPS Hanya Untuk Rakyat Sarawak

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING: Keputusan empat parti komponen tempatan Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar Barisan Nasional (BN) dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan suatu tindakan yang tepat dan betul. 

Menurut Presiden SUPP Dato Sri Dr Sim Kui Hian, tindakan berani Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu jelas memberi kelebihan kepada GPS yang dianggotai pemimpin tempatan mampu menambat hati rakyat Sarawak. 

Buktinya, GPS berjaya meraih 76 kerusi daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas. 

“Saya ingin membuat kesimpulan bahawa kebijaksanaan Abang Jo pada 2018 apabila mengambil keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Dalam pilihan raya baru-baru ini rakyat Sarawak secara jelas menyokong parti tempatan Sarawak dan menolak parti dari Semenanjung Malaysia. 

“Jadi terima kasih banyak kepada Abang Jo dalam melakukan keputusan yang sangat penting itu selepas bertahun-tahun di Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penghargaan Petugas GPS di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu. 

Sementara itu, Pemangku Presiden PRS Datuk Jospeh Salang Gandum dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari di atas persetujuan dan sokongan kepada kesemua cadangan calon PRS pada PRN12 Sarawak lepas. 

Jelasnya, PRS telah berjaya membawa kejayaan cemerlang kepada GPS dengan memenangi 11 kerusi di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya. 

“Perjuangan pertama PRS ialah membentuk diri dengan melihat siapa calon kita. 

“Terima kasih Ketua Menteri di atas persetujuan menyokong cadangan calon-calon yang telah dikemukakan PRS dan bersetuju dengan semua nama yang diberikan dengan hasilnya membawa kejayaan yang cemerlang,” katanya. 

Dalam pada itu, Naib Presiden PDP Dato Henry Jinap yang mewakili Presidennya Dato Sri Tiong King Sing dalam ucapannya mahu parti komponen GPS bekerja dan melakukan yang terbaik untuk rakyat Sarawak.

“Pilihan raya sudah berakhir. Kita semua mempunyai kerja penting dan saya merayu kepada rakan-rakan kongsi untuk keluar dan melakukan yang terbaik untuk orang ramai. 

“Saya ingin menyeru semua parti politik untuk membuka hati dan mengenali diri kita supaya boleh pergi lebih jauh dan bekerja lebih baik dengan perpaduan yang sedia ada. 

“Lagipun, GPS adalah kuasa politik yang kuat dan mempunyai asas yang kukuh serta konsisten yang berterusan sebagai sempadan politik dan budaya di Malaysia,” katanya. 

Pada PRN12 Sarawak lepas, GPS telah berjaya melakar sejarah baharu apabila berjaya memenangi 76 kerusi DUN daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Pencapaian ini lebih baik berbanding PRN11 Sarawak pada 2016 apabila memenangi 72 kerusi DUN Sarawak.-EDISI UKAS

add comment