Isu Tekanan Air Rendah Di Sibu Jaya, Lembaga Air Sibu Hantar Bekalan Air 

KHAMIS, 06 JANUARI 2022

SIBU: Lembaga Air Sibu telah diarahkan untuk menghantar bekalan air dengan segera menggunakan lori tanker bagi mengatasi masalah tekanan air rendah di Sibu Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing berkata beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Lembaga Air Sibu dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) untuk membincangkan isu bekalan air Sibu Jaya. 

Bercakap dalam satu kenyataan media pada Selasa, Dato Sri Tiong menjelaskan isu ini berpunca daripada projek Sibu Jaya/Kanowit Fasa 2 yang melibatkan lebih daripada 1.87 kilometer paip simen keluli karbon 1000 mm (MSCL) yang akan siap dalam masa tempoh dua bulan oleh kontraktor untuk mengurangkan masalah tekanan air yang tidak mencukupi di Sibu Jaya dan Salim. 

“Pada mulanya, Lembaga Air menyatakan bahawa projek itu akan siap pada bulan Disember tahun lepas yang membawa kepada harapan besar di kalangan penduduk Sibu Jaya untuk akhirnya menikmati bekalan air yang bersih.

“Walaubagaimanapun, hari ini mereka masih tidak mempunyai sumber air bersih dan bergantung kepada trak air untuk membekalkan air mereka,” jelasnya.

Selain itu katanya, projek paip simen keluli karbon kini separuh siap tetapi kontraktor yang berkaitan telah kekurangan tenaga kerja dan peralatan yang tidak mencukupi selain kesesakan lalu lintas di tapak pembinaan dan faktor-faktor lain sebagainya menyebabkan kelewatan projek. 

“Sama ada isu itu terletak pada Lembaga Air atau semua kontraktor, mereka harus menyedari tanggungjawab mereka dari hari pertama dan menyediakan bahan dan sumber yang mencukupi untuk proses pembinaan untuk membolehkan proses pembinaan kerja selesai dalam tarikh akhir,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan semua yang terlibat untuk kerap melakukan pemeriksaan di lapangan dan mengenal pasti kawasan yang menghadapi kekurangan air dari semasa ke semasa.-EDISI UKAS

add comment