Kemuka Permohonan Penerbangan Tambahan Kepada MOTS, Tidak Dibenarkan Naik Tambang

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING: Sejajar dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 Sarawak pada 3 Januari lepas, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) menjangkakan lebih banyak sektor ekonomi dibuka. 

Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin menerusi kenyataan media pada Khamis berkata, ini akan menyebabkan banyak pergerakan melibatkan masyarakat dan penghantaran barangan merentasi negeri. 

“Oleh itu, semua syarikat penerbangan diminta mengemukakan permohonan penerbangan tambahan kepada MOTS memandangkan permintaan yang tinggi berikutan sambutan Tahun Baru Cina akan datang untuk pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

“Buat masa ini, syarikat penerbangan juga diingatkan supaya tidak menaikkan tambang penerbangan mereka,” katanya. 

Beliau yang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan Sarawak pada 4 Januari lepas telah memulakan tugas pada 5 Januari bersama dengan dua Menteri Muda, Datuk Dr Jerip Susil dan Dato Henry Harry Jinep di MOTS Petra Jaya. 

Terdahulu, Setiausaha Tetap MOTS Datu Buckland Bangik telah memberikan taklimat mengenai latar belakang dan prestasi kementerian, peranan pengangkutan sebagai pemboleh utama yang ditetapkan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan program, dan projek pengangkutan yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12  (RMK-12) (2021-2025). 

Dato Sri Lee turut memaklumkan penerbangan sulung SCOOT Tigerair Pte Ltd antara Singapura dan Miri yang dijadualkan pada 19 Januari ini telah ditangguhkan. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCOOT Campbell Wilson, mereka masih mengusahakan beberapa perkara dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan hanya memulakan penerbangan sulung pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian oleh syarikat penerbangan tersebut.

Turut dibincangkan cadangan mengadakan lawatan ke Kementerian Pengangkutan Malaysia dan ibu pejabat agensi berkaitan pengangkutan lain di Kuala Lumpur untuk menjalin hubungan rapat dan kukuh dengan pemain industri pengangkutan di peringkat persekutuan.-EDISI UKAS

add comment