Pembentukan Kabinet Sarawak Mengikut Pertimbangan Pelbagai Aspek

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING : Kemenangan luar biasa Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak adalah satu mandat yang kuat beserta tanggungjawab berat daripada rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau mengakui pembentukan kabinet Sarawak yang baharu dilakukan dengan penuh ‘hati-hati’ mengikut pertimbangan daripada pelbagai aspek supaya segala usaha dan perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik.

“Dalam ekonomi baru, cabaran baru, 2030 sudah tentu keadaan kaedah pendekatan kita akan berubah.. Datuk Adenan mengambil masa 6 hari menubuhkan kabinet, saya berkehendak keputusan 12 hari kerana diteliti dengan sebanyak mungkin dari sudut komposisi, daripada kemahuan kaum, keperluan kawasan, dan etnik,” katanya semasa berucap di Majlis Apresiasi Petugas PRNS Ke-12 2022 bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) pada Rabu.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Pengerusi GPS menjelaskan, 34 janji yang terkandung dalam manifesto GPS pada PRN12 Sarawak akan ditunaikan.

Ujarnya, setiap janji itu harus dilaksanakan bagi memacu Sarawak ke arah mencapai negeri maju menjelang 2030.

“Apa yang penting adalah kita harus tunaikan janji kita. Janji adalah janji dan kita akan laksanakan semua janji kita!” tegas beliau.

Mengulas lanjut, tambah Ketua Menteri, misi kerajaan Sarawak kini adalah ingin menyelaraskan setiap kemahuan dan juga permintaan semua peringkat umur, kaum, agama serta setiap kawasan di Sarawak. 

Oleh itu, beberapa kementerian baharu telah ditubuhkan bagi melatih golongan muda menguruskan perkara baru dan seterusnya menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang dalam pentadbiran negeri. 

“Bukan bererti saya mahu mengawal kesemua kementerian.. kerana ini adalah perkara baru, sebab itu dalam perjalaan kita, kita akan meminta mereka yang telah dapat kita asuh untuk mengambil alih beberapa kementerian-kementerian yang penting”

“Saya tidak akan berada di posisi ini selamanya kerana tiba masanya nanti saya akan bersara dan kita perlu membentuk mereka supaya sesuai dengan kehendak ekonomi dan dunia,” jelasnya lagi.

Majlis apresiasi itu diadakan sebagai penghargaan kepada semua jentera parti, petugas-petugas, penyokong dan rakan sekerja di atas sumbangan, dedikasi, komitmen dan kerja berpasukan dalam membantu GPS mencapai kemenangan dengan memenangi 76 kerusi daripada 82 dalam PRN12 Sarawak. -EDISI UKAS

add comment