Pusat Kanser Sarawak, Kerajaan Sarawak Biayai Dahulu Pembinaannya

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Pusat Kanser Sarawak dengan fasiliti yang komprehensif menggunakan dana sendiri terlebih dahulu untuk kegunaan rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara ini telah dipersetujui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Katanya, secara dasarnya Kerajaan Sarawak akan menggunakan dana sendiri dahulu dan Kerajaan Persekutuan akan membayar balik peruntukan tersebut. 

“Sebenarnya pembinaan pusat tersebut harus mendapat pembiayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM), tetapi Ketua Menteri bersetuju menggunakan dahulu dana Kerajaan Sarawak supaya rakyat tidak menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan kanser. 

“Rakyat kita sudah lama menderita…Kuala Lumpur akan membayar kita balik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Kabinet Kerajaan Sarawak di DUN pada Selasa. 

Jelas Dato Sri Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sarawak tidak dapat menunggu lebih lama untuk KKM menyediakan dana bagi membangunkan pusat berkenaan memandangkan keperluan khidmat rawatan kanser amat tinggi di negeri ini. 

“Dengan sumber kewangan Sarawak yang kukuh, usaha tersebut pasti akan menjadi kenyataan untuk rakyat Sarawak.

“Malah, jika kita melakukan semua ini bersama dan bersatu, saya yakin Sarawak mampu mencapai kejayaan cemerlang pada masa akan datang,” ujarnya.  

Pada September lalu, Menteri Kesihatan Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM telah menghantar permohonan cadangan pembinaan Pusat Kanser Sarawak kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk pertimbangan. 

Jelas beliau lagi, KKM menyokong cadangan pembinaan pusat tersebut kerana fasiliti kesihatan berkenaan amat diperlukan rakyat di negeri ini.-EDISI UKAS

add comment