S Pay Global Daftar 590,290 Pengguna, Rekod Transaksi RM1.8 Bilion Setakat Ini

KHAMIS, 6 JANUARI 2022

KUCHING: Aplikasi eWallet, S Pay Global semakin berkembang pesat apabila platform digital itu berjaya mendaftarkan seramai 590,290 pengguna dan 85,445 peniaga di seluruh Sarawak dengan merekodkan jumlah transaksi berjumlah RM1.8 bilion setakat ini.

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak berkata, pengguna S Pay Global meningkat secara mendadak sepanjang tempoh negeri ini berdepan pandemik COVID-19.

Menurutnya, ini kerana para peniaga dan orang awam lebih gemar untuk menggunakan pembayaran secara dalam talian berbanding menggunakan wang tunai.

“Lebih menarik, S Pay Global juga telah bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi menyediakan perkhidmatan transaksi secara dalam talian kepada penduduk di kawasan pedalaman melalui agen BSN yang dilantik.

“Pengguna S Pay Global yang berada di pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai akses kepada institusi kewangan juga boleh menerima dan menyalurkan duit simpanan melalui eWallet melibatkan 236 agen BSN di seluruh negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Sementara itu, Dr Zaidi memberitahu, perkhidmatan S Pay Global telah diperluaskan kepada beberapa bentuk penyaluran termasuk bantuan kebajikan daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah berupaya untuk menyalurkan bantuan kewangan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membantu rakyat Sarawak semasa pandemik COVID-19,” jelasnya. -EDISI UKAS

add comment