Ahli Parlimen Kota Samarahan Lawat Tapak Projek Naik Taraf Jalan Di Hadapan SMK Hajjah Laila Taib

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang melakukan lawatan ke tapak projek menaiktaraf jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hajjah Laila Taib pada Khamis.

Beliau memberitahu, pihak kontraktor digesa untuk melaksanakan penurapan jalan dengan segera sebelum sesi persekolahan bermula.

Jelasnya, pihak kontraktor turut diminta untuk menyediakan garisan jalan sementara khasnya dari persimpangan Jambatan Samarahan sehingga ke Jambatan Sui.

“Kita telah minta pihak kontraktor untuk mengecat jalan tersebut iaitu untuk menyediakan garisan jalan berwarna kuning sementara menunggu kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut siap sepenuhnya,” katanya.

Rubiah menambah, ianya adalah bagi keselamatan pengguna jalan raya dan garisan putih belum dapat disediakan sehingga jalan tersebut siap dilaksanakan.

Turut hadir ialah Menteri Muda Infrastruktur Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS

add comment