Beri Kerjasama Kepada Sukarelawan Untuk Kenal Pasti Individu Layak Didaftar E-Kasih – Datu Len Talif

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

TANJONG MANIS: Satu pasukan sukarelawan telah diwujud dan digerakkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang bagi mengenal pasti individu yang layak untuk didaftarkan dalam sistem E-Kasih.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh, ini merupakan inisiatif bagi memastikan setiap mereka yang layak dapat didaftarkan di dalam sistem E-Kasih dan mendapat bantuan daripada kerajaan.

“Inisiatif ini bertujuan memaksimakan pendaftaran golongan yang layak di kawasan DUN Kuala Rajang ke dalam sistem pangkalan data E-kasih bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan dalam pelbagai bentuk dari semasa ke semasa.

“E-kasih juga merupakan salah satu sistem pangkalan data yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu, merancang, melaksana, memantau dan menyalurkan bantuan daripada Kerajaan Pusat,” katanya pada Khamis.

Beberapa sukarelawan daripada setiap kawasan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) telah digerakkan bagi membantu mendapatkan maklumat di kalangan penduduk yang layak menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Datu Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang juga memohon kerjasama daripada semua penduduk di kawasan DUN Kuala Rajang untuk memberikan kerjasama kepada sukarelawan tersebut bagi memudahkan proses pendaftaran di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan untuk diserahkan kepada agensi kerjaan yang terbabit.-EDISI UKAS

add comment