KMKK DUN Kakus Sambut Baik Pelantikan Datuk John Sikie Sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

TATAU: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.60 Kakus Datuk John Sikie Tayai sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri telah mendapat reaksi positif daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

KMKK menyambut baik pelantikan itu dan berharap lebih banyak pembangunan dapat dilbawa ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus. 

Menurut Pemanca Daerah Tatau Gerosen Jubin, pelantikan itu merupakan satu kebanggaan dan ditunggu-tunggu masyarakat di DUN Kakus khususnya daerah Tatau. 

“Terima kasih kepada Ketua Menteri di atas kepercayaan melantik ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri. 

“Pelantikan ini diharap akan dapat meneruskan kesinambungan projek-projek pembangunan di Daerah Tatau,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelantikan ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai sebagai Menteri di Jabatan Ketua Menteri seperti yang telah diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg baru-baru ini.

Datuk John Sikie telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Januari lepas. 

Bagi Tuai Rumah Nelson Chuat Glong, dari Begeri, Jalan Selangau/ Mukah pula, beliau menyambut baik pelantikan Datuk John Sikie sebagai menteri penuh di dalam Kabinet Sarawak yang baharu ini. 

“Beliau sememangnya layak berada dalam kabinet Sarawak kerana telah bekerja keras dalam membawa pembangunan di DUN Kakus. 

“Dalam tempoh 5 tahun itu, beliau banyak memberikan pembangunan kepada DUN Kakus seperti kemudahan bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan jalan raya bertar. Ini termasuk juga kemudahan jalan-jalan dan tempat letak kereta di hadapan rumah rumah panjang. 

“Dengan pelantikan tersebut, diharap akan membawa lebih banyak pembangunan di kawasan DUN Kakus,” katanya pada Khamis. 

Sementara itu, Penghulu Lasit Bajieng, dari Sungai Arip, Selangau menyifatkan pelantikan Datuk John Sikie sebagai menteri penuh dalam kabinet Sarawak suatu yang sangat dinantikan masyarakat di DUN Kakus. 

“Lantikan Datuk John Sikie sebagai menteri sesuatu pekara yang amat dinantikan penduduk di kawasan DUN Kakus terutamanya kawasan Sungai Arip, Sungai Tau, Sungai Bawang dan Sungai Anak.

“Selain berpengalaman dalam politik, beliau juga dekat dengan rakyat dan sentiasa turun padang. Jawatan baru beliau ini akan memberi kelebihan kepadanya terutamanya dalam merancang agenda pembangunan masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya. 

Manakala, bagi Penghulu Micheal Agul Reman, dari Muput, Tatau, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri di atas pelantikan Datuk John Sikie sebagai menteri penuh pada penggal ini. 

“Tahniah kepada Datuk John Sikie atas pelantikan itu dan berharap akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Anap/ Muput terutamanya pembinaan jalan raya bertar ke dari Nanga Jenga ke Ulu Anap Tatau,” katanya. 

Sebelum ini, beliau banyak pembangunan ke kawasan DUN Kakus seperti penyediaan kemudahan bekalan elektrik melalui solar di kawasan di Ulu Anap dan melaksanakan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik di kawasan Muput.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas, Datuk John Sikie yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang dengan majoriti 1,897 menewaskan pencabarnya dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan dua calon Bebas dalam pertandingan 6 penjuru.-EDISI UKAS

add comment