Pelan Strategik Jangka Panjang Diperlukan Atasi Masalah Banjir Kilat

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

SIBU: Satu pelan induk jangka panjang yang lebih strategik diperlukan bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berulang. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini kerana penyelesaian seperti menambah baik sistem perparitan dan penyelenggaran longkang yang sedia ada hanya merupakan langkah sementara sahaja.

Justeru, satu pelan induk jangka panjang perlu ada meliputi kerja-kerja mengorek dasar Sungai Rajang dan Sungai Igan yang harus dilakukan segera.

“Beberapa kawasan seperti Dudong, Stabau, Sentosa dan Jalan Salim sering dilanda banjir kilat yang menjejaskan urusan harian penduduk. Mereka juga terpaksa menanggung kerugian akibat daripada keadaan banjir itu. 

“Oleh itu, sudah sampai masanya masalah ini diselesaikan secara menyeluruh dan bukan bersifat sementara,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak pada Rabu. 

Mengulas lanjut, Dato Sri Tiong berharap agar agensi-agensi terlibat dapat bertindak pantas menyelesaikan masalah banjir kilat itu. 

“Strategi tindak balas jangka panjang dan rancangan untuk menangani keperluan 15 hingga 20 tahun ke depan sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah banjir di Sibu,” ujarnya.

Menerusi pelan induk jangka panjang yang berkesan juga akan dapat menangani pembangunan pesat dan pertumbuhan penduduk di bandar Sibu. -EDISI UKAS

add comment