Projek Bina Baharu Parit Konkrit Bakal Atasi Masalah Sistem Perparitan Kampung Mambong

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

PADAWAN: Masalah air bertakung dan banjir kilat yang sering berlaku di Kampung Mambong bakal di atasi dalam jangka masa terdekat setelah projek bina baharu parit konkrit siap dilaksanakan kelak.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, projek bina baharu parit konkrit tersebut merupakan salah satu daripada peruntukan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM100,000.

Jelasnya, pelaksanaan projek RTP akan dilaksanakan sepenuhnya di bawah seliaan pihak Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Mambong memaklumkan, kerja baikpulih akan dipertingkatkan setelah isu sistem perparitan berkenaan diselesaikan.

“Projek ini adalah langkah permulaan kita bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk akibat daripada kebanyakan kawasan berlumpur.

“Kita selesaikan masalah sistem saliran dahulu dan seterusnya mempertingkatkan kerja baikpulih yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Bina Baru Parit Konkrit di Lorong 2D Kampung Mambong pada Jumaat.

Datuk Dr Jerip menambah, ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu memantau bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar. -EDISI UKAS

add comment