Sarawak Negeri Pengeksport Produk Makanan, Berpendapatan Tinggi Pada 2030

JUMAAT, 7 JANUARI 2022

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah memainkan peranan besar menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeksport produk makanan menjelang 2030.

Malah ujar Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kementerian itu memainkan peranan penting dalam mencapai hasrat negeri berpendapatan tinggi pada masa yang sama.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah kepada Dato Sri Stephen Rundi sebagai peneraju baharu kementerian itu pada Jumaat.

Kabinet Negeri Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12 menyaksikan Datuk Douglas Uggah diberi kepercayaan untuk meneraju Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Menteri Kewangan Kedua dan Ekonomi Baru.

Dalam pada itu, Dato Sri Stephen Rundi berkata, beliau akan menekankan usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport produk makanan.

Ujarnya, usaha itu termasuk membantu mentransformasi pertanian konvensional luar bandar kepada komersial.

Tambahnya, sektor pertanian merupakan salah satu daripada sektor dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 bagi merealisasikan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datu Edwin Abit, Pengarah Jabatan Pertanian, Dr.Alvin Chai, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr.Adrian Susin Ambud, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, Siang Mandaw dan Pengurus Besar SALCRA, Joseph Blandoi. -EDISI UKAS

add comment