Awla Tekad Terus Pikul Amanah Majukan Simunjan

SABTU, 8 JANUARI 2022

SIMUNJAN : Satu majlis kesyukuran telah diadakan di atas kemenangan ADUN Simunjan, Awla Dris dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang lalu bertempat di Ruai Gempuru, Pejabat Daerah Simunjan pada Jumaat.

Majlis anjuran Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) Simunjan itu menyaksikan kehadiran kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Awla dalam ucapannya berkata, kemenangan itu merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikulnya sepanjang lima tahun akan datang untuk membawa pembangunan di Simunjan.

Beliau juga tidak menafikan kejayaannya adalah berkat hasil kerja keras semua pihak termasuk KMKK. 

Terharu dengan penglibatan semua pihak, awla menzahirkan penghargaan serta berterima kasih di atas sumbangan dan usaha setiap pihak yang membantu sehingga beliau berjaya mengekalkan kerusi DUN Simunjan.

Katanya, beliau akan terus memikul amanah memajukan Simunjan termasuk memastikan kebajikan penduduk sentiasa terjaga.   

Dalam majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 yang akan diserahkan kepada KMKK untuk menjalankan aktiviti sepanjang tahun 2022.-EDISI UKAS

         

add comment