Enam Pemain Muda KCFC ‘Naik Pangkat’, Beraksi Di Liga Premier 2022

SABTU, 8 JANUARI 2022

KUCHING: Seramai enam pemain Piala Presiden Kuching City FC (KCFC) ‘naik pangkat’ dan diserapkan dalam skuad Liga Premier 2022.

Kesemua mereka telah menandatangani kontrak tersebut di hadapan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan di pejabat KCFC pada Jumaat.

Pemain tersebut adalah Mohamad Nur Raziman Razali (23, tengah), Azuanie Jasman (22, pertahanan), Zulikhsan Salleh (22, tengah), Mohd Badrul Hisham Mohamad Hussien (23, pertahanan), Azzam Marzuk Saffriy (23, pertahanan) dan Mohd Alauddin Farid Atan (22, tengah).

Menurut Iswandi, kesemua pemain berkenaan diserap dalam skuad utama kerana mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala Presiden musim lalu.

“Kesemua pemain muda ini berbakat besar dan saya yakin kita dapat menggunakan mereka untuk mengharungi Liga Premier nanti.

“KCFC sentiasa memberi peluang kepada pemain muda meningkatkan mutu permainan mereka dengan beraksi di peringkat yang lebih kompetitif,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya, setakat ini seramai 10 pemain Piala Presiden telah diserap dalam pasukan utama KCFC selepas empat pemain yang diserap pada tahun 2021 iaitu Amir Amri Salleh, Amirrul Iqmal Bolhi, Wan Badzreen Wan Yusuf dan Diego Baggio Test.

Beliau dalam pada itu turut berharap penyerapan kesemua pemain tersebut akan menyuntik semangat pemain-pemain muda lain untuk terus berusaha dengan lebih gigih memantapkan mutu permainan mereka agar dapat mengikuti langkah rakan-rakan yang berjaya.

Sementara itu, skuad berwajah baru KCFC akan diuji kemampuannya menentang tiga pasukan Liga Super yang berpangkalan di Semenanjung.

Menurut Iswandi, pasukan tersebut adalah Selangor FC, PJ City serta Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun tambahnya, tarikh untuk perlawanan pra musim tersebut masih belum dimuktamadkan pihak pengurusan. – EDISI UKAS

add comment