240 Pelajar Di Tellian Sertai Program Kembali Ke Sekolah Gunting Rambut Percuma

AHAD, 9 JANUARI 2022

MUKAH: Seramai 240 pelajar sekolah dari tiga kawasan sekitar Tellian menyertai Program Kembali Ke Sekolah Gunting Rambut Percuma yang diadakan pada Sabtu.

Program tersebut anjuran bersama Pergerakan Pemuda & Wanita PBB N57 Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Saberkas Cawangan Tellian dan Skuad Antidadah Daerah Mukah.

Ia turut membabitkan kerjasama Ajakcut Barbershop, CVU Barbershop, Maxx Barbershop dan PIBG SK Kampung Tellian Mukah.

Program tersebut diadakan di tiga lokasi iaitu Dewan Sri Pekala Kpg Kuala Lama; Dewan Serbaguna Kg Tellian Tengah dan Pondok SRS KRT Petanak Jaya.

Pihak Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah juga turut bersama mengadakan pameran serta edaran risalah tentang bahaya dadah di lokasi program.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, beliau amat berterima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan program tersebut.

Jelas Royston, penganjuran program itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan ibu bapa mempersiapkan anak-anak untuk kembali bersekolah.

Ujarnya, kerjasama erat di antara pelbagai pihak amatlah dihargai dan diharapkan ianya akan berterusan di masa akan datang kerana penganjuran program seumpama berkenaan bertujuan mewujudkan rangkaian kerjasama antara pelbagai pihak agar tugas-tugas sukar dapat dilaksanakan dengan mudah hasil usaha bersama pihak yang terlibat.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada yang terlibat dalam menjayakan program tersebut dan disampaikan oleh Kaunselor Jay Keram selaku Timbalan Walikota merangkap Setiausaha Parti PBB Cawangan Tellian bagi mewakili Royston. – EDISI UKAS

add comment