Kemenangan GPS Pada PRN12 Bukti Anak Sarawak Sendiri Memilih Untuk Jaga Sarawak

AHAD, 9 JANUARI 2022

DEBAK: Kemenangan bersejarah Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) bukti jelas rakyat mahu anak Sarawak sendiri mentadbir negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam menyifatkan kemenangan bergaya GPS adalah hadiah cukup bermakna untuk orang Sarawak selaras dengan semangat ‘Intu Sarawak’ atau Jaga Sarawak.

Beliau dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di atas kemenangan besar GPS pada pilihan raya kali ini.

“Saya yakin kemenangan yang besar kali ini, merupakan hadiah untuk orang Sarawak dengan semangat ‘Intu Sarawak’, diikuti juga dengan pesan serta nasihat daripada Allahyarham Tok Nan dulu, jaga sarawak dengan baik, agar kita mampu buktikan bahawa GPS merupakan parti yang terbaik untuk memimpin negeri Sarawak ini sendiri.

“Alhamdulillah syukur kepada hadrat Allah SWT kerana dengan berkat doa, kerjasama dan kerja keras jentera kita, daripada barisan AJK Ranting Bapa, Wanita & Pemuda hingga ke Cawangan yang bertungkus lumus dan berhadapan dengan pelbagai provokasi, tohmahan dan sebagainya,” katanya berucap pada Majlis Kesyukuran Dan Penghargaan Jentera PRN12 di Riveria Sport Centre Debak pada Sabtu.

Katanya, kerja keras jentera parti terutamanya di setiap ranting memastikan GPS yang menggunakan logo baru menang bukan sahaja menang di Saribas malah menghadiahkan kemenangan besar dengan 76 kerusi.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberinya peluang menyertai kabinet Sarawak dengan jawatan Menteri Muda Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang merupakan salah satu komponen dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Komuniti Sarawak.

Antara pengisian lain program tersebut ialah Majlis Berzikir, Persembahan Ngajat dan penyampaian cenderahati sebagai kenang-kenangan kepada ADUN Saribas di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Muda baru-baru ini. – EDISI UKAS

add comment