Kerajaan Pusat Rancang Bina Empat Mahkamah Baharu Di Sarawak

AHAD, 9 JANUARI 2022

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke -12 (RMK-12) bagi menaik taraf badan kehakiman di negeri berkenaan.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mahkamah baharu itu akan dibina di Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

“Kita telah merancang untuk membina mahkamah baharu di Limbang Sarawak yang tidak mempunyai bangunan sendiri, kita juga mencadang mahkamah baharu di Sri Aman Sarawak.

“Ini untuk pembaharuan kepada kemudahan kehakiman melalui servis sokongan. Kita juga merancang untuk mahkamah baharu di Mukah dan Kapit,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching pada Ahad.

Dato Sri Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, mahkamah baharu itu perlu bagi menampung peningkatan jumlah kes.

Beliau juga mendapati bahawa banyak mahkamah di Sarawak ditempatkan di bangunan bersama dengan jabatan kerajaan lain dan oleh itu, hakim di beberapa mahkamah di Sarawak perlu masuk melalui kawasan awam.

“Hakim harus mempunyai pintu masuk peribadi dan tidak bersama orang awam sebelum memasuki mahkamah. Aspek keselamatan Hakim, Majistret dan orang awam serta semua pihak yang berurusan dengan mahkamah serta kekangan penggunaan bangunan biasa kerana lokasi mahkamah adalah faktor utama dalam merancang pembangunan kompleks mahkamah baharu di Sarawak,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga bercadang untuk membina kediaman rasmi Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching di bawah RMK-12, selaras dengan kelayakan seperti yang dinyatakan dalam Akta Saraan Hakim 1972.

Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa kerajaan telah meluluskan 14 projek untuk menaik taraf, membaik pulih dan memelihara bangunan mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700 melibatkan kompleks mahkamah kuching, Bintulu dan Miri, serta mahkamah di Kota Samarahan, Sibu dan Sarikei.-EDISI UKAS

add comment