Pelabuhan Jadi Komponen Penting Di Sarawak

AHAD, 9 JANUARI 2022

KUCHING: Pengurusan pelabuhan di negeri ini diminta untuk lebih berinovasi dan bersedia melakukan pemodenan serta menerima pakai teknologi baharu.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelabuhan di negeri ini akan menjadi komponen penting di dalam pembangunan menjelang 2030.

Jelasnya, gaya pengurusan baharu dan penambahbaikan kesemua fasiliti penting amat diperlukan bagi memudahkan perancangan mengeksport lebih banyak produk makanan.

Beliau berkata demikian semasa melawat Pelabuhan Senari di Kuching pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan turut mengambil maklum mengenai aktiviti pelabuhan dan program pembesarannya menerusi taklimat yang disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kuching, Robert Lau Hong Thiam.

Beliau berpendapat bahawa pelabuhan di negeri ini mempunyai potensi dan boleh bersaing dengan pelabuhan lain di rantau ini.

Hadir sama semasa lawatan ialah kedua-dua Menteri Mudanya, Datuk Majang Renggi dan Aidel Lariwoo, Setiausaha Tetap Kementerian Tersebut, Datuk Safri Zainudin serta Pengerusi Pelabuhan, Awang Bemee Awang Ali Basah. -EDISI UKAS

add comment