Pemuda PBB Balingian Anjur Program Back To School: Gunting Rambut Percuma

AHAD, 9 JANUARI 2022

MUKAH: Pemuda PBB N.58 Balingian meneruskan program OTG (On-The-Go) Community dengan menganjurkan program Back To School: Gunting Rambut Percuma.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kelab-kelab Belia di kawasan DUN Balingian itu diadakan pada Sabtu di empat lokasi sekitar Balingian membabitkan seramai 20 tukang gunting.

Ia turut disertai Pegawai Khas Pusat Khidmat Balingian, Che Ghazali Arbi dan Pegawai Khas Pusat Khidmat Mukah, Almahakim Norshidi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, penganjuran program tersebut bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa untuk menggunting rambut yang disasarkan kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan Balingian.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya ibu bapa dalam memberi pendidikan sebaiknya kepada anak-anak dan program ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kepada ibu bapa dalam persiapan anak-anak mereka menghadapi alam persekolahan.

Ujarnya lagi, program tersebut dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan walau Sarawak telah sekarang berada dalam Fasa keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Abdul Yakub menambah, Program OTG Community, Back To School: Gunting Rambut Percuma telah memanfaatkan seramai 330 pelajar sekolah rendah dan menengah di Balingian. – EDISI UKAS

add comment