PBB Sarawak Wujudkan Sayap Baharu Khas Untuk Golongan Belia

ISNIN, 10 JANUARI 2022

KUCHING : Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) akan mewujudkan satu lagi sayap yang menumpukan kepada golongan belia berumur di antara 18 sehingga 28 tahun.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, PBB Sarawak akan meminda perlembagaan parti itu bagi melaksanakan cadangan tersebut.

“Kita wujudkan satu sayap khas untuk mereka ini kerana kita rasa mereka ini sentiasa bersama dengan kita dalam menguruskan masyarakat bukan sahaja bagi golongan belia malah untuk pelbagai peringkat umur. 

“Kerana kita akan berhadapan dengan populasi penuaan, maka kita perlu mendengar suara anak muda kerana kita tahu era digital dan kehendak mereka agak berubah dengan apa yang dikehendaki oleh masyarakat hari ini,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB Sarawak kali ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Jelas beliau lagi, PBB Sarawak akan menjadi parti yang dinamik khas bagi golongan belia dan rakyat Sarawak berteraskan dengan keadaan politik dan dasar ekonomi semasa.  

Dalam sidang media yang sama, Ketua Menteri turut memberitahu, PBB Sarawak akan menekankan penglibatan Sarawak dalam bidang tenaga dan ekonomi baru yang menggunakan Grit Teknologi kelestarian alam sekitar.

“Satu kementerian telah kita letakkan iaitu Kementerian Kesihatan Awam yang akan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memelihara bidang kesihatan dan akan terus berusaha untuk menggalakkan kajian kesihatan melalui pusat kajian yang kita telah wujudkan,” katanya. 

Tambah beliau lagi, dengan Sarawak sering berhadapan dengan keadaan cuaca yang berubah, maka ianya ada hubung kait dengan pengurusan alam sekitar yang akan menjadi satu bidang yang harus ditekankan dalam pentadbiran kerajaan pada lima tahun akan datang. 

“Kita akan membuat penambahan tanam semula hutan dan akan mengkaji pengurusan hutan yang lebih mampan untuk masa hadapan bagi mempunyai alam sekitar sepertimana yang dikehendaki dunia pada hari ini,” tegasnya.

Selain itu, jelas Ketua Menteri lagi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan pastikan 34 perkara dalam manifesto dilaksanakan.

Hadir sama Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS

add comment