Pemuda PBB Kuala Rajang Anjur Gotong-Royong, Terap Budaya Saling Membantu

ISNIN, 10 JANUARI 2022

SARIKEI: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kuala Rajang telah melakukan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan persekitaran rumah seorang penduduk di Kampung Drahman Keria, Sarikei, Haminah Mohamad pada Ahad.

Gotong-royong tersebut telah diketuai oleh Ketua Pemuda Kuala Rajang, Mohd Tazullah Khan bermula semalam dan disambung hari ini (Isnin).

Keadaan rumah Haminah agak teruk di mana terdapat kerosakan pada lantai dan bumbung yang perlu diganti dengan segera selain pokok di persekitaran rumah itu yang telah reput dan hampir tumbang.

Pada Sabtu lepas, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh telah berkunjung bagi melihat keadaan rumah itu.

Dalam pada masa yang sama, kontraktor dari Majlis Daerah Sarikei (MDS) sedang menjalankan kerja-kerja membaiki rumah tersebut.

Menurut Datu Len, gotong royong adalah satu aktiviti yang baik dalam kehidupan bermasyarakat dengan berkerjasama dan saling membantu dalam menyelesaikan pekerjaan secara sukarela.

Sehubungan itu, beliau berharap agar aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi terutamanya dalam kalangan golongan belia dan pemuda kampung. – EDISI UKAS

add comment