Penduduk Gembira, Rumah Panjang Jubang Kini Telah Terima Capaian Internet

ISNIN, 10 JANUARI 2022

LIMBANG: Menyedari kepentingan internet khususnya di kawasan luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memasang Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Rumah Panjang Jubang anak Aloi, kampung Tanah Merah, Limbang. 

Berkongsi kegembiraan itu, Tuai Rumah Jubang menzahirkan terima kasih kepada SKMM yang melaksanakan projek perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit di kawasan tersebut. 

Kerja-kerja pemasangan JENDELA itu telahpun siap dilaksanakan pada 6 Januari 2022. 

Menurut SKMM, Projek JENDELA ini telah memberi manfaat kepada lebih 400 orang penduduk di Kampung Tanah Merah. 

Projek JENDELA ini menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat luar bandar di seluruh negara. 

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyasarkan kawasan luar bandar dan pedalaman akan dihubungkan dengan internet menerusi Projek JENDELA menjelang akhir tahun 2025.-EDISI UKAS

add comment