Terima Kasih Kepada Pengundi Di DUN Marudi Terus Memilih GPS

ISNIN, 10 JANUARI 2022

MARUDI: Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil mengucapkan terima kasih kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi kerana terus memilihnya sebagai wakil rakyat bagi penggal ini. 

Sokongan ini sangat penting untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memerintah Sarawak dan membawa lebih banyak pembangunan untuk keperluan rakyat. 

“Terima kasih kepada pengundi-pengundi di DUN Marudi kerana telah memilih saya pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas.

“Sokongan ini akan memastikan politik di DUN Marudi akan terus bersama GPS dan meneruskan agenda pembangunan,” katanya. 

Beliau berucap di Majlis Kesyukuran Pelantikan Sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Masyarakat Beluru pada Sabtu. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Beluru yang mewakili Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Marudi, kaunselor dan rakyat di kawasan DUN Marudi mengucapkan tahniah di atas pelantikan sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

“Tahniah kepada Datu Dr Penguang di atas pelantikan sebagai Menteri Muda Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kejayaan mempertahankan kerusi DUN Marudi pada PRN12 Sarawak yang lalu,” katanya. 

Turut mengucapkan tahniah kepada Datu Dr Penguang ialah Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau. 

Pada majlis itu juga Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling Ason telah menyerahkan watikah pelantikan lanjutan kepada Penghulu Buan Gulungan dan Penghulu Benang Pilang, watikah pelantikan lanjutan kepada 53 orang KMKK dan watikah pelantikan baru KMKK kepada David Wen dari Kampun Long Jegan C dan Jau Bato dari Kampung Long Teru, Tinjar.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak Alexander Asing, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai dan Ketua Masyarakat Daerah Beluru Pemanca Enggah Muga.-EDISI UKAS

add comment