Dato Henry Gesa KMKK Bekerjasama Beri Perkhidmatan Terbaik Untuk Rakyat

SELASA, 11 JANUARI 2022

BAU: Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep memberitahu KMKK perlu bekerjasama dengan beliau dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat khususnya di DUN Tasik Biru.

Jelasnya, pendekatan baharu akan dilakukan bagi memastikan setiap permohonan yang diminta oleh rakyat dapat dinilai oleh beliau sendiri.

“Terdapat beberapa isu yang dihadapi oleh rakyat telah dimaklumkan kepada ketua kampung tetapi tidak disampaikan kepada saya.

“Pihak KMKK wajib rekod setiap permohonan daripada rakyat dan sampaikan kepada saya untuk saya nilai sendiri setiap bulan kerana kawasan DUN Tasik Biru sangat besar dan kekangan masa membataskan saya untuk menumpukan tumpuan sepenuhnya pada semua kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama KMKK Kawasan Singai di Bodang Grill Kampung Apar pada Isnin.

Dato Henry menambah, mengenai isu berkenaan tanah Pimuung Singai, beliau menggesa agar KMKK bertindak segera mengikut undang-undang dalam menuntut hak ke atas tanah daripada pihak Koperasi Singai supaya dapat dibahagikan mengikut kampung atau secara individu. -EDISI UKAS

add comment