Dato Sri Fatimah Terima Kunjungan Hormat Kuching Love Book Association Dan 38 Yayasan Amal Cinta

SELASA, 11 JANUARI 2022

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menerima kunjungan hormat daripada pengasas Kuching Love Book Association, May Loo Hun Ing dan pengasas 38 Yayasan Amal Cinta, Dato Law Chean Yap di pejabatnya di Baitul Makmur 2, Petra Jaya Kuching pada Selasa.

Tujuan kunjungan hormat adalah bagi membincangkan kerjasama dengan Dato Sri Fatimah Abdullah untuk mengadakan Program Amal di N56 Dalat.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, ini adalah kali pertama dua agensi tersebut akan mengadakan program amal di luar Kuching.

“Kami akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan program amal yang bakal diadakan di Dalat.

“Ini adalah kali pertama program tersebut dianjurkan di luar kawasan Kuching,” jelasnya.

Dalam kunjungan itu, turut diadakan simbolik penyerahan pelitup muka daripada dua agensi tersebut yang diserahkan May Loo Hun Ing kepada Dato Sri Fatimah.

Untuk rekod, Kuching Love Book Asssociation telah menderma sebanyak 5,000 kotak pelitup muka sepanjang tahun 2021. –EDISI UKAS

add comment