SELASA, 11 JANUARI 2022
SERIAN : Pejabat Penerangan Daerah Samarahan meneruskan hebahan bergerak ‘Info On Wheels’ (IOW) menggunakan unit kenderaannya di Kampung Segenam dan Kampung Tian Sekawan pada Isnin.
Hebahan dilakukan bagi menyampaikan maklumat kepada penduduk di kawasan itu agar bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan kawasan tersebut terdedah dengan banjir.
Antara maklumat yang dihebahkan ialah panduan keselamatan penduduk dalam menghadapi banjir seperti menyimpan dokumen penting dalam bekas kalis air, hubungi nombor telefon penting (ahli keluarga, balai polis, hospital, bomba) jika berlaku kecemasan; sediakan barang keperluan asas seperti ubat-ubatan dan pastikan bekalan elektrik, air dan gas ditutup.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan meminta agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana berikutan amaran hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak bermula 11 hingga 13 Januari 2022.-EDISI UKAS