Kerajaan Telah Bersiap Sedia Hadapi Banjir Sejak November Lepas

SELASA, 11 JANUARI 2022

KUCHING: Sarawak telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan musim monsun timur yang laut yang melanda negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah mempersiapkan jentera sejak November 2021.

“Terdapat lapan jabatan dan 6,705 orang keanggotaan yang akan terlibat.

“Kita mempunyai aset iaitu 286 buah bot, 115 buah lori, 247 buah pacuan empat roda (4×4), tiga buah helikopter dan tiga buah kenderaan amfibia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Selasa.

Datuk Amar Douglas Uggah juga menambah, sebanyak 621 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan depoh simpanan keperluan mangsa bencana telah disediakan.

“Kita ada 621 buah PPS yang mempunyai kapisiti 185,067 orang. Kalau perlu temapt PPS baru, kita boleh sediakan, yang penting adalah mangsa ada tempat untuk berpindah.

“Kita di Sarawak ada sebuah depoh simpanan besar di Samrahan, dan kita ada tiga buah mini depoh simpanan iaitu di Kuching, Samarahan dan Miri,”  jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan rakyat terutamanya mereka yang mendiami kawasan berisiko tinggi banjir untuk terus berjaga-jaga dan mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya diminta untuk berpindah.

“Jadi nasihat kita kepada rakyat, terus berjaga-jaga khususnya mereka yang duduk di tempat yang sentiasa dilanda banjir. Aspek yang paling penting ialah apabila ada pergerakan untuk minta rakyat berpindah, mereka diminta untuk berpindah secepat mungkin. Pastikan dokumen, sijil-sijil, barang-barang berharga dan sebagainya disimpan di tempat yang selamat,”ujar beliau lagi.-EDISI UKAS

add comment