POKUFM Berjaya Hasilkan Tanaman Hidroponik Dan Nanas

SELASA, 11 JANUARI 2022

MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Dato Sebastian Ting Chiew Yew mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM) di atas inisiatif mengadakan Projek Tanaman Sayuran Hidroponik dan tanaman nanas di Piasau Camp, Jalan Pantai, Miri. 

Katanya, kejayaan ini membuktikan mereka yang kurang upaya mampu menjayakan projek tanaman sebegini. 

“Hari ini saya datang ke sini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang berada di sini atas kejayaan projek tanaman  sayuran hidroponik dan buah nanas. 

“Tahniah juga di atas sesi taklimat yang sangat menarik dalam menerangkan aktiviti di Pusat Aktiviti Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas mengadakan lawatan ke Pusat Aktiviti Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM) pada Selasa. 

POKUFM merupakan sebuah pertubuhan yang diasaskan oleh beberapa Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Fizikal dengan sokongan masyarakat yang prihatin melihat keadaan dan hala tuju masa depan mereka yang berada di Miri.

Sehingga kini keahlian POKUFM seramai 29 orang dengan 16 OKU kategori fizikal, 3 OKU kategori masalah pendengaran dan 6 orang sukarelawan. 

Dalam ucapan itu juga, Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada POKUFM bagi tujuan perbelanjaan utiliti dan aktiviti tahunan. 

Hadir sama Penghulu Leonard Fung, Pengerusi POKUFM Mazlan Daraman dan Setiausaha POKUFM Abdul Aziz Brahim. -EDISI UKAS

add comment