Vistage Dilancar Bantu CEO Di Kuching Tingkatkan Prestasi Perniagaan

SELASA, 11 JANUARI 2022

KUCHING: Vistage adalah merupakan lembaga penasihat swasta bagi membantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemilik perniagaan  untuk membuat keputusan yang lebih baik sekali gus memanfaatkan syarikat, keluarga dan komuniti.

Ianya adalah untuk memperhalusi kebolehan, memperbaiki penilaian, mengembangkan perspektif dan mengoptimumkan keputusan dalam sesebuah perniagaan.

Pengerusi Vistage, Stanley Liew menjelaskan, beliau teruja untuk bekerjasama dengan pelbagai kumpulan CEO, pengurus besar termasuk pemilik perniagaan di Sarawak untuk membimbing mereka dalam mencapai pertumbuhan pesat dalam perniagaan dan mempertingkatkan kualiti sebagai pemimpin.

Jelasnya, Vistage sedang dalam proses untuk mengambil ahli baharu bagi menyertai pihaknya untuk membincangkan isu perniagaan, berkongsi kepakaran dan memberikan bantuan sekaligus mencapai matlamat mengoptimumkan kejayaan perniagaan.

“Kami sedang dalam proses mencari ahli baharu yang berminat dengan Vistage dan keahlian adalah melalui jemputan.

“Pihak kami perlu melihat sama ada Vistage sesuai untuk bakal ahli atau ahli berpotensi dan jika mempunyai kesesuaian, maka kami akan teruskan penglibatan antara satu sama lain,” katanya pada sidang media pelancaran Vistage Emerging Entrepreneur (VEE) Group di Kuching pada Selasa.

Stanley menambah, beliau mensasarkan lapan hingga 16 ahli bagi kumpulan pertama dan kumpulan seterusnya akan dibuka bergantung kepada permintaan.

Katanya lagi, pihaknya akan menerima ahli daripada industri pembuatan, perdagangan atau perkhidmatan.

Untuk maklumat lebih lanjut boleh layari www.vistage.com.my atau berhubung dengan Stanley Liew di talian +6012-3118866. -EDISI UKAS

add comment