Naik Taraf Kuil Gurdwara Sahib Siap 75 Peratus

RABU, 12 JANUARI 2022

MIRI: Projek menaik taraf Kuil Gurdwara Sahib, Miri telah siap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2022.

Menteri Muda Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembaha, Dato Sebastian Ting Chiew Yew memberitahu, projek menaik taraf kuil ini mendapat peruntukan daripada Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

“Dari tahun 2017 hingga 2021, UNIFOR telah menyampaikan peruntukan berjumlah RM660,000 kepada Kuil Gurdwara Sahib Miri untuk projek tersebut,” katanya semasa ditemui selepas melakukan lawatan bersama Pengarah UNIFOR Richard Lon ke Kuil Gurdwara Sahib, Miri pada Rabu.

Dato Sebastian Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Richard di atas kehadiran di majlis itu.

Sementara itu, Bendahara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Projek Naik Taraf Kuil, Gurvir Singh Sandhu berkata, projek tersebut berjalan dengan baik dan menghargai segala sumbangan dan sokongan semua pihak bagi menjayakan projek ini.

“Projek kami ini berjalan dengan baik dan kami amat bertuah kerana mendapat sokongan semua termasuk perunding projek, arkitek dan lain-lain lagi yang turut menyumbang tenaga dan masa mereka secara percuma bagi menjayakan projek ini,” katanya.

Hadir sama, Presiden Gurdwara Sahib Miri Gurmokh Singh dan Penghulu Leonard Fung.-EDISI UKAS

add comment