SABERKAS Bekerjasama Dengan MRA Sarawak, Bantu Mangsa Banjir Di Semenanjung Malaysia

RABU, 12 JANUARI 2022

KUCHING: Musibah banjir yang melanda Semenanjung Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian daripada sukarelawan di Sarawak.

Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Safiee Ahmad memberitahu, SABERKAS berbesar hati bekerjasama dengan Malaysian Relief Agensi Sarawak (MRA) dan agensi yang lain bagi menjayakan Program Sukarelawan ‘Keluarga Malaysia’ Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir 2022.

Jelasnya, program bantuan yang akan dilaksanakan pada 17 hingga 31 Januari ini adalah program bantuan yang dilakukan oleh sukarelawan Sarawak dalam membantu meringankan beban mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.

Safiee menambah, pihak SABERKAS sentiasa bersedia membantu bukan sahaja bagi program kebajikan malahan untuk program yang lain selaras dengan matlamat pertubuhan berkenaan.

“Kita di SABERKAS sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mempunyai keperluan dan bukan sahaja program yang bersifat kebajikan malah untuk program yang lain juga sesuai dengan matlamat SABERKAS dalam membangunkan belia-belia kita sebagai NGO terbesar di Sarawak.

“Selain itu, SABERKAS turut terbuka memberi kerjasama yang sewajarnya dan dapat menyumbang bersama dalam segala usaha murni yang dilaksanakan,” katanya pada Majlis Penyerahan Dana Program Sukarelawan ‘Keluarga Malaysia’ Misi Kemanusiaan Bantuan Banjir 2022 di Ibu Pejabat SABERKAS Negeri Sarawak pada Rabu.

Dalam program sama, Safiee menyampaikan cek bernilai RM30,000 kepada MRA Sarawak bagi menjalankan pelaksanaan program bantuan berkenaan.

Beliau berharap program sukarelawan tersebut berjalan dengan lancar dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan. -EDISI UKAS

add comment