3,199 Kompaun Ingkar SOP Bernilai RM1.8 Juta Dikeluarkan Sepanjang 2021

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

KUCHING: Sebanyak 3,199 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tahun 2021 oleh pasukan pemantau pematuhan Op COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah menjelaskan, jumlah keseluruhan kompaun tersebut adalah RM1.8 juta.

Beliau menjelaskan sebanyak 3,092 kompaun telah dikenakan terhadap individu dan sebanyak 107 kompaun lagi dikenakan ke atas premis.

“Jumlah nilai kompaun individu adalah sebanyak RM782,157 dan jumlah nilai kompaun premis pula adalah sebanyak RM1,060,000,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Ujarnya lagi, kesalahan yang paling kerap dilakukan ialah kegagalan mendaftar masuk oleh pemilik premis, pekerja atau pelanggan melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar masuk.

“Selain itu, pemilik premis juga dikompaun kerana gagal memaparkan jumlah maksimum pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis dalam satu-satu masa.

“Mereka juga juga dikompaun kerana gagal menyediakan buku daftar masuk ke premis atau kod QR MySejahtera, pengimbas suhu atau pensanitasi tangan dan tiada penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka,” ujarnya lagi.-EDISI UKAS

add comment