Ahli Parlimen Kota Samarahan Serah Baucer Bantuan Persekolahan Kepada 600 Murid

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang telah menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Baucer Bantuan Persekolahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Rabu.

Beliau memberitahu, penerima bantuan menerima baucer RM100 setiap seorang yang melibatkan 600 murid dari 39 buah sekolah rendah di kawasan berkenaan.

Jelasnya, bantuan persekolahan tersebut salah satu usaha untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Bantuan baucer ini sedikit sebanyak membantu ibu bapa untuk membeli kelengkapan sekolah anak mereka.

“Jika kita lihat pada masa sekarang dengan pandemik COVID-19, kemampuan ekonomi ibu bapa terkesan dan amat terhad,” katanya.

Rubiah berharap ibu bapa dapat menggunakan baucer bantuan dengan sebaiknya bagi memberikan keselesaan untuk anak mereka menghadapi sesi persekolahan yang dibuka semula baru-baru ini. -EDISI UKAS

add comment