Banjir: Lima Keluarga Di Kampung Seduan Jaya, Sibu Dipindahkan

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

SIBU: Seramai 46 penduduk dari lima keluarga di Kampung Seduan Jaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Jeriah susulan banjir yang berlaku di kawasan itu sejak Selasa.

Prihatin dengan nasib mangsa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaae turun padang pada Rabu untuk meninjau dan membantu menyelaras bantuan kepada mereka yang terjejas.

Menurutnya, masalah perparitan serta hujan lebat yang turun sejak Selasa menjadi punca berlakunya banjir di situ.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang terjejas untuk berpindah segera.

“Kita tidak mahu sebarang kecemasan berlaku ketika anda berada di rumah, ia akan sangat menyukarkan usaha menyelamat seperti yang berlaku petang ini,” katanya.

PPS di Dewan Serba Guna Kampung Jeriah telah dibuka berkuatkuasa Rabu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan, susulan daripada banjir yang berlaku di Sibu terutamanya di Kampung Jeriah dan Kampung Seduan Jaya.

Sementara itu, tiada penambahan jumlah mangsa dilaporkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Bahagian Sibu setakat Rabu.

Operasi pemindahan mangsa turut dibantu anggota Bomba Dan Penyelamat Sibu. – EDISI UKAS

add comment