Dato Gerald Serah Cek MRP RM30,000 kepada LEDC

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

BETONG: Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar,Dato Gerald Rentap Jabu menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC) sebagai dana pelaksanaan aktiviti tahunan pada Rabu.

Selain daripada itu, Dato Gerald juga hadir bagi menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sinar Mutiara SMK St Augustine (SEMESTA) sekaligus melancarkan Program Pecutan Suntikan Cerah 064 di Dewan Sri Jabu, Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) St Agustine Betong.

Datuk Gerald sempat menasihati dan memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun sesi pembelajaran bersemuka telah banyak terganggu dan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dengan gajet tablet yang dibekalkan oleh LEDC, beliau berharap para pelajar dapat memanfaatkan penggunaan kemudahan tersebut untuk mendapatkan maklumat memandangkan era kini lebih tertumpu kepada Ekonomi Digital di mana pelbagai peluang boleh didapati seperti Penganalisis Data, Pakar Statistik, Penggiat Kandungan Kreatif, Penghasilan Aplikasi dan lain-lain.

Dalam pada itu beliau mengingatkan para pelajar untuk menanamkan cita-cita masing-masing dan giat dalam melaksanakan usaha untuk mencapainya bagi meneruskan kesinambungan masa depan Sarawak yang secara tidak langsung bakal mencorakkan hala tuju negeri ini pada masa akan datang.

Turut hadir Pengetua SMK St Augustine Betong, Ujai Sambau, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC), Paul Langgang, Pen. Kanan Pentadbiran SMK St Augustine Betong, Aleksey Aman, Pengerusi PIBG SMK St Augustine Betong, Kaunselor Horace Entoi dan Koordinator Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC), Dr. Keling Stevenson Ancheh. – EDISI UKAS

add comment