DUN Pantai Damai Tubuh Skuad Prihatin Pantai Damai Bagi Hadapi Musibah

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai menubuhkan Skuad Prihatin Pantai Damai sebagai persediaan bagi menghadapi situasi-situasi yang tidak diduga sejajar dengan perubahan iklim pada masa kini.

Menurut Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, seramai 60 orang ahli ditetapkan yang mewakili tiga zon iaitu Telaga Air, Santubong dan Seberang Hilir.

Jelas beliau lagi, jumlah ahli tersebut akan ditambah supaya kumpulan berkenaan dapat beroperasi secara konsisten setiap kali bencana terjadi.

“Skuad Prihatin merupakan inisiatif baharu iaitu ada kumpulan khas yang membantu semasa bencana berlaku.

“Pasukan ini ditubuhkan secara sukarela, dan bila ada kes-kes melibatkan bencana alam, mereka akan datang membantu,” katanya ketika berucap melancarkan Skuad Prihatin Pantai Damai pada Rabu.

Dr Abdul Rahman menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan program perintis bagi membantu lebih ramai pihak dan bersedia untuk sebarang kemungkinan bencana yang bakal melanda.

Beliau menambah, pada masa terdekat, kumpulan tersebut akan diberi taklimat mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan semasa bencana berlaku.-EDISI UKAS

add comment