DUN Tellian Mahu Projek RTP Berkualiti, Beri Impak Kepada Komuniti

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mahu Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan mempunyai kualiti yang memberi impak jelas kepada komuniti dan meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.

Justeru, beliau menggesa kerjasama daripada semua agensi untuk sama-sama membantu dalam memastikan pelaksanaan RTP mengikut spesifikasi yang telah digariskan serta dilaksana sepertimana yang telah dirancang.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat bagi Projek RTP DUN Tellian di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Menara Pehin Setiaraja Mukah pada Selasa.

Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Pemangku Residen Bahagian Mukah, Sharie Saili berkaitan projek RTP yang dilaksanakan di DUN Tellian.

Terdahulu, diadakan perjumpaan pergerakan pemuda DUN Dalat bersama pemuda DUN Tellian dan DUN Balingian bertempat di Pusat Khidmat DUN Tellian.

Perjumpaan tersebut bertujuan bagi membincangkan pengisian Program Penyelarasan Santai Belia Bersama Pemimpin yang akan dihadiri oleh Menteri Muda di Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu pada 14 Januari 2022 di Kingwood Hotel Mukah. – EDISI UKAS

add comment