Naik Taraf Klinik Komuniti Desa Senadin Berjalan Lancar, Tambah Baik Perkhidmatan Kesihatan

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

MIRI: Kepesatan penduduk di kawasan Desa Senadin telah menyebabkan Klinik Kesihatan Tudan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang begitu ramai. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, menaik taraf Klinik Komuniti itu akan meningkatkan mutu dan perkhidmatan yang lebih komprehensif kepada lebih 9,000 penduduk di Desa Senadin.

“Desa Senadin Ini adalah satu kawasan yang sememangnya memerlukan perkhidmatan kesihatan. 

“Ini adalah sebab kemudahan di Klinik Kesihatan Tudan memanglah tidak memadai pada masa ini kerana klinik itu mengikut apa yang dirancangkan hanya untuk 600 pesakit luar sehari. 

“Sekarang ini, mengikut data dalam sehari lebih 800 orang pesakit menerima rawatan. Inilah yang menyebabkan kesesakan di Klinik Tudan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan tapak Klinik Kesihatan Senadin Baharu pada Khamis. 

Jelas Dato Sri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Klinik Komuniti yang dinaik taraf ini akan menyediakan perkhidmatan seperti rawatan biasa, rawatan ibu dan anak, mempunyai makmal darah, pergigian dan juga menempatkan doktor bagi merawat pesakit.  

“Di klinik ini, kita akan ada perkhidmatan untuk rawatan biasa dan mempunyai doktor. 

“Turut diadakan mengadakan Klinik Ibu dan Anak, dan mempunyai makmal darah serta perkhidmatan pergigian,” jelasnya. 

Projek Naik Taraf Klinik Komuniti itu sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa tiga bulan.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy.-EDISI UKAS

add comment