Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong Serah Sumbangan Kepada 70 orang Penerima

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

BETONG: Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong telah diadakan di Pusat Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong pada Khamis.

Program tersebut adalah acara yang sentiasa diadakan oleh pertubuhan tersebut menjelang ketibaan musim perayaan samada Tahun Baru Cina, Hari Gawai Dayak ataupun Hari Raya Aidilfitri.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh Menteri Muda Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu kepada seramai 70 orang penerima.

Difahamkan, sumbangan tersebut berbentuk wang tunai bernilai RM100 beserta satu kotak limau mandarin bagi setiap penerima yang meliputi dari kawasan Pusa, Spaoh, Debak dan Betong sendiri.

Walaubagaimanapun, hanya beberapa penerima dari Betong sahaja yang hadir secara fizikal selebihnya, bantuan akan dihantar terus kepada penerima.

Selain itu, ADUN Layar turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 yang merupakan peruntukan dari pihak Ahli Parlimen Betong. – EDISI UKAS

add comment