Sarawak Rekod Jumlah Kematian, Kadar Kebolehjangkitan COVID-19 Terendah, Rakyat Tetap Perlu Sentiasa Peka

KHAMIS, 13 JANUARI 2022

KUCHING: Sarawak merekodkan kadar kebolehjangkitan (RO) dan jumlah kes kematian yang terendah di Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, walau bagaimanapun rakyat perlu terus sentiasa peka dan menjalankan tanggungjawab mereka agar wabak COVID-19 ini tidak terus menular serta membahayakan nyawa mereka.

“Terima kasih banyak-banyak kepada rakyat Sarawak yang bersama dalam memerangi dan melawan COVID-19. Ini kerana, disebabkan anda telah memainkan peranan maka kita mempunyai angka kematian terendah di seluruh Malaysia selain Labuan dan Putrajaya.

“Kita juga antara negeri yang merekodkan RO COVID-19 yang terendah di negara ini.

“Namun, kita jangan leka kerana RO kita juga telah meningkat secara berterusan daripada 0.71 pada 28 Disember 2021 kepada 0.89 pada 9 Januari 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik pada Rabu selepas menghadiri mesyuarat secara maya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Dato Sri Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sarawak juga mencatatkan jumlah rakyat yang paling tinggi menerima vaksin COVID-19 di negara ini.

“Sebanyak 91.7 peratus orang dewasa yang layak telah menerima dos 1 dan dos 2, manakala 87.9 peratus remaja yang layak telah menerima setakat ini.

“Sementara itu, untuk Oktober 2021 hingga Jan 2022, seramai 1,814,752 orang dewasa di Sarawak layak untuk menerima dos penggalak tetapi hanya 74.2 peratus tampil dengan 468,904 lagi belum menerima dos penggalak mereka.

“Hanya 59.3 peratus daripada orang dewasa yang layak berumur 18 tahun hingga 29 tahun menerima dos penggalak mereka, ”jelasnya lagi.-EDISI UKAS

add comment