Kedai Makan Boleh Beroperasi 24 Jam Dengan Pematuhan SOP Ketat

JUMAAT, 14 JANUARI 2022

MIRI: Selepas Sarawak beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 pada 4 Januari lepas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membenarkan operasi aktiviti ekonomi dilanjutkan sehingga 24 jam. 

Majlis Bandaraya Miri (MBM) dalam kenyataan media pada Khamis berkata, walau bagaimanapun kedai atau restoran yang beroperasi 24 jam perlu menutup selama dua jam bagi kerja-kerja pembersihan. 

Menurut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 145 Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan, 1996 (bab 20), di bawah syarat khas No.30; “Mana-mana kedai makanan yang beroperasi 24 jam sehari mesti tutup dua jam (minimum) bagi membolehkan aktiviti pembersihan dilakukan bagi menjaga kebersihan.

Manakala, bagi perniagaan yang membenarkan aktiviti karaoke di premis mereka (terutamanya bistro), aktiviti tersebut hendaklah tamat pada jam 2.30 pagi.

Dalam pada itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) pengudaraan untuk bangunan komersial juga memerlukan pengendali makanan untuk menjaga kebersihan bahagian mekanikal pengudaraan (seperti penghawa dingin, pembersih udara atau kipas) bagi memastikan udara bersih mengalir masuk dan keluar dari premis.-EDISI UKAS

add comment