Penduduk Jemoreng Harus Bersiap Siaga Hadapi Banjir

JUMAAT, 14 JANUARI 2022

MATU: Kenaikan paras air di Daerah Matu terutamanya di kawasan yang rendah dan berisiko banjir dalam keadaan yang membimbangkan ekoran taburan hujan tanpa henti pada Khamis.

Tinjauan mendapati pertembungan taburan hujan beserta air pasang di kawasan tersebut turut menjadi faktor utama kenaikan paras air yang turut menjejaskan beberapa buah sekolah dan kampung.

Kawasan sekolah yang terjejas akibat banjir adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Matu (0.15m), Sekolah Kebangsaan Orang Selair (0.04m), SK Orang Kaya Sergunim (0.25m) manakala kampung yang turut terjejas adalah Kampung Jemoreng (0.43m), Kampung Bertong (0.15m), Kampung Sekaan Besar (0.18m), Pekan Matu (0.12m).

Dalam pada itu, Kampung Bawang, Kampung Sekaan kecil, Kampung Tian masih dalam keadaan yang terkawal.

Ekoran paras air mula naik turut menyaksikan penduduk sudah mula mengalihkan kenderaan mereka ke kawasan yang lebih tinggi sebagai langkah awal mengelak banjir.

Dalam pada itu, hujan dijangka akan berterusan dengan keadaan cuaca mendung dan awan tebal sepanjang hari.

Limpahan air hujan dari hutan di jalan utama Bruan Matu menghala ke Igan menyebabkan sebahagian jalan ditelenggami air namun masih dapat dilalui kenderaan.

Penduduk kampung harus berwaspada dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan kenaikan paras air.

Sekiranya hujan berlanjutan sehingga 18 Januari ini, kawasan tersebut bakal berhadapan dengan pertembungan air pasang laut dijangka bermula pada 17 Januari dan menyebabkan trend air pasang besar dan banjir kilat meningkat secara mendadak.-EDISI UKAS

add comment