Sebuah Bot Bersama 5 Nelayan Ditahan Ceroboh Taman Laut

JUMAAT, 14 JANUARI 2022

MIRI: Sebuah bot tempatan (BNT) bersama lima nelayan telah ditahan di perairan Miri pada jarak lebih kurang 10.8 batu nautika dari barat daya Tanjung Lobang pada Khamis. 

Menurut Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng aset Maritim Malaysia KM Stapa telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan sekitar jam 3.00 petang Khamis ketika melaksanakan OP Permai di perairan Miri. 

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan yang dikendalikan oleh seorang tekong lelaki warga tempatan bersama empat lelaki kru warga Indonesia berumur dalam lingkungan 26 hingga 62 tahun tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap. 

“Kesemua kru termasuk tekong telah ditahan kerana disyaki telah menceroboh kawasan taman laut dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di Sibuti Coral Reef National Park, Miri di bawah Ordinan Taman Negara dan Rezab Semula Jadi 1998,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat. 

Tambah Eizanizam, bot dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 500 kilogram ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi siasatan lanjut. 

Kes ini akan disiasat di bawah Ordinan Taman Laut dan Rezab Semula Jadi 1998 dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 5,000, dan penjara tidak lebih 1 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.-EDISI UKAS

add comment